- Kisah toyol banyak kita dengar sebelum ini. Tetapi penulis pernah mengalami pengalaman ini suatu ketika dahulu kira-kira 4 tahun dahulu sekitar tahun 2006. Pada suatu hari penulis ke rumah seorang kawan di Sungai Pergam, Bagan Datoh. Waktu itu jam 9.00 pagi. Kami bercadang nak ke Kuala Lumpur kerana ada sedikit urusan.
Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, kawan penulis ini memeriksa dompetnya yang sebelum ini mempunyai wang RM1000 dalam dompet beliau. Tiba-tiba kawan penulis ini naik angin dan menuduh anak lelaki bungsunya telah mengambil RM300 tanpa minta izin.
Terus sahaja anak lelakinya menafikan bahawa beliau tidak mengambil walaupun terdesak. Maka terjadilah pertengkaran kecil sehingga penulis terpaksa masuk campur dan menyiasat perkara itu sehingga mendapati wang tersebut telah diambil oleh toyol. Dari soalsiat penulis dan masa wang tersebut hilang kemana perginya dalam masa tersebut dari jam 12.00 tghmalam sehingga jam 9.00 pagi. Pasti wang itu masih berada dalam rumah.
Jika anaknya mengambil wang tersebut mesti terjumpa selepas kami menyelongkar habis satu rumah termasuk bilik anak lelakinya. Semasa menyiasat didapur terdapat kesan tapak kaki seakan tapak kaki budak kecil diatas para tempat menyimpan tepung gandum. Jadi kemungkinan ini kerja si toyol bedebah. Sebelum itu pun pernah juga beliau kehilangan wang tetapi tidaklah banyak. jadi sama-samalah kita membaca hukumnya membela toyol..... Biarlah mencari kekayaan dengan cara yang halal.
Haram, Berdosa bela toyol.
Bersama Mohd. farid ravi abdullah
Pengarah Institut Kajian Hadis, Selangor,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Soalan
Apakah hukum orang yang membela toyol dan mengamalkan ilmu hitam begini?
Jawapan
KEBANYAKAN orang Melayu biasa mendengar perkataan toyol yang difahami sebagai sejenis hantu. Ia juga merujuk kepada makhluk seperti kanak-kanak kecil daripada golongan jin, yang dibela oleh manusia, untuk mencuri benda-benda tertentu terutama duit.
Makhluk ini akan mencuri sebahagian daripada wang milik seseorang. Mengikut Kamus Dewan definisi toyol adalah: “toyol ialah sejenis hantu yang suka mengganggu orang”. (Kamus Dewan, hlm: 1711, Kuala Lumpur, 2005)
Misalnya, kalau seseorang itu mempunyai wang 10 keping, dia mungkin mencuri sebahagian, sekeping atau dua keping.
Sebab itu kita biasa dengar kalau ada yang hilang duit akan berkata: “Toyol manalah curi duit aku”. Maksudnya kehilangan duit akan dikaitkan dengan toyol.
Seharusnya kita mengenali toyol yang daripada jenis jin ini dengan lebih terperinci. Menurut apa yang ustaz baca dapat disimpulkan bahawa toyol berperangai seperti anak kecil yang mempunyai susuk tubuh setinggi 50-60 sentimeter sahaja.
Kulitnya merah kemerahan dan berwajah bulat dengan mata agak terkeluar sedikit. Dahinya menonjol, mulut lebar dan berkepala botak.
Kegemarannya sama seperti anak kecil yang ingin dibelai dan mengikut apa yang dikehendakinya. Memiliki perwatakan sedikit nakal, suka mengomel tetapi licik dan pandai menjerumuskan manusia mengikut telunjuknya. Ia adalah daripada bangsa jin kafir yang kebanyakannya dipergunakan oleh manusia untuk mendapatkan wang dan menjadi kaya dengan cepat.
Penggunaan toyol adalah kaedah ghaib bagi memperkayakan diri pemeliharanya yang jauh menyimpang daripada ajaran agama dengan merompak dan mencuri harta benda orang lain secara ghaib.
Di sana terdapat syarat-syarat yang dikenakan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Malahan syarat-syarat itu adalah segala yang bertentangan dengan hukum Allah SWT dan perkara ini amat disukai oleh iblis dan anak buahnya bangsa jin kafir.
Antara syarat yang dikenakan ke atas seseorang yang ingin memelihara toyol adalah:
Tidak boleh mengamalkan ajaran agama.
Tidak boleh membuat kebajikan atau kebaikan.
Bersedia menyerahkan isteri untuk disetubuhi toyol atau menghisap susunya.
Bersikap cinta kepada harta benda.
Menyediakan sajian untuk makanan toyol.
Rumah harus jauh daripada orang ramai dan kegiatan agama.
Suasana rumah harus redup.
Sediakan ruang atau bilik khusus yang berbau kemenyan sebagai tempat tinggal toyol.
Harus bersikap lembut dan santun terhadap toyol kerana toyol itu seperti anak kecil.
Harus membawa toyol berjalan-jalan mengikut kehendak toyol.
Toyol tidak diperoleh dengan percuma. Malahan orang yang ingin memilikinya perlu membayar sejumlah wang untuk mendapatkannya daripada orang yang memuja jin kafir.
Jelas di sini bahawa pemilikan toyol adalah dengan tujuan membolehkan dia mencuri wang jiran tetangga mahupun daripada rumah orang kaya untuk disampaikan kepada tuannya.
Perbuatan ini bertentangan dengan Islam, perbuatan memelihara toyol adalah haram dan berdosa di sisi Islam. Sementara, perbuatan menyuruh toyol mencuri duit juga haram dan berdosa.
Maksudnya, orang membela toyol melakukan dua dosa besar kepada Allah. Pertama melakukan syirik kepada Allah dengan bergantung kepada makhluk seperti toyol bagi mendapatkan rezeki dengan jalan yang haram.
Dosa kedua adalah mengambil harta orang secara haram dengan mencurinya. Allah SWT juga akan menghitung si pembela toyol dengan cukup keras dan azab Allah menantinya atau perbuatan yang bertentangan dengan agama Allah SWT.
Ini kerana kebanyakan orang membela toyol tidak boleh mengamalkan ajaran Islam, tidak boleh solat, tidak boleh bersedekah tidak boleh membaca al-Quran dan lain-lain amalan kerohanian.
Allah SWT menjadikan Adam a.s dengan penuh penghormatan dengan memerintahkan para malaikat sujud sebagai tanda hormat kepada Adam a.s. Juga memperlihatkan bahawa Adam a.s lebih daripada makhluk-makhluk yang lain ini kerana Allah sendiri yang menjadikan Adam a.s.
Ini jelas dalam firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang Yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu. (al-Kahfi: 50 ).
Dalam ayat yang sama Allah menempelak sikap manusia yang akan menjadikan syaitan sebagai pembantu-pembantu mereka, juga menjadikan syaitan yang asalnya daripada jin sebagai sahabat karib.
Manusia yang malas berusaha dan berdiri atas kaki sendiri akan sering mencari jalan haram dalam mengumpul kekayaan dengan tidak menghiraukan halal haram dalam sumber pendapatan.
Kemuliaan manusia akan terserlah apabila manusia berusaha membanting tulang empat kerat dan berkeringat dalam mencari rezeki yang halal.
sumber: utusan malaysia.
Lagi Kisah Seram: Ghost Stories Club